Sunday, August 22, 2010

Respek Sama Lu !!!


Saya sebenarnya ingin berkongsi sebuah email  yang saya terima bersabit dengan ayam sembelihan dan status halalnya. Saya dapati hasrat saya itu telahpun dipermudahkan oleh The Unspinners yang telahpun menerbitkan email yang sama di SINI.

Ada sebuah komen oleh seorang pengunjung blog ini yang berbunyi, "Kalau rasa syak kepada ayam yang dimakan, mulakan business bela ayam." Sekiranya ada sikap saling hormat menghormati,  kemungkinan besar perasaan was-was, syak wasangka dan saling tidak mempercayai tidak akan timbul dan tidak perlulah bagi seseorang yang lain menceburi bisnes yang sama  semata-mata hanya kerana timbulnya perasaan-perasaan negatif tersebut.

Masih ingatkah lagi kes mengenai bekalan makanan halal dan IKEA Mutiara Damansara? Waktu itu terdapat beberapa pembekal dan premis pemerosesan daging yang dibongkar oleh pihak yang berkenaan. Keraguan timbul terhadap status halalnya berikutan dengan cara pemyembelihan dan pemerosesan bekalan makanan tersebut. Ada yang premisnya terletak berhampiran dengan tempat pemerosesan daging babi 

IKEA Damansara telah terbabit dalam kes ini apabila terdapat pembekal sosejnya adalah di antara pembekal-pembekal yang disyakki. IKEA Damansara bertegas bahawa sumber bekalannya adalah halal. Saya pun pernah terbaca yang ada di antara pembekal-pembekal yang disebut dalam kes ini menafikan bahawa bekalan mereka itu adalah tidak menepati syarat status halal.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tindakan susulan oleh pengurusan IKEA Damansara dalam hal ini. Walaupun belum terbukti 'tidak halal', IKEA Damansara telah menutup cafenya selama beberapa bulan dan melakukan pengubahsuaian termasuk menggantikan semua peralatan dapurnya  dan penyamakan mengikut kaedah Islam di samping memastikan para pembekalnya benar-benar mematuhi syarat 'halal' yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa. Kalau tidak silap, IKEA Damansara ada menyebut bahawa tindakan tersebut diambil kerana keyakinan para pelanggannya amatlah penting dalam perniagaan mereka.

Apa pendapat anda sekira ianya bukan IKEA Damansara, tetapi taukeh-taukeh tempatan kita? Apa agaknya tindakan mereka dan bagaimana pula tahap hubungan mereka dengan pelanggan-pelanggan?

IKEA adalah sebuah syarikat dari Sweden. Sebelum mempunyai dan berpindah ke gedung perniagaannya sendiri di Muitiara Damansara, IKEA telah menyewa ruangan perniagaan di 1-Utama (Old Wing). Sekiranya anda berkunjung ke IKEA Damansara, anda akan dapati bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di papan-papan tanda, di tag-tag harga dan spesifikasi barangan dan lain-lain. Boleh dikatakan hampir keseluruhannya menggunakan hanya Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Saya beberapakali menerima katalog dari IKEA yang ditulis dalam kedua-dua bahasa tersebut sahaja.

Apa yang saya bangga terhadap IKEA ini?

Mereka adalah syarikat asing tetapi dalam hal ini nampaknya IKEA begitu menghormati agama rasmi negara serta bahasa kebangsaan negara kita Malaysia. Mereka bukan tidak tahu bahawa bukan semuanya rakyat Malaysia tidak memakan makanan tidak halal. Sekiranya mahu, mereka boleh buat 'derk' tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk pengubahsuaian cafe mereka.

Mereka menghormati Bahasa Kebangsaan Malaysia walaupun mungkin mereka terdengar khabar bahawa golongan kaya yang sering berbelanja adalah kebanyakannya terdiri dari gologan yang tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan, terutamanya di kawasan KL/PJ ini. IKEA tidak pula menggunakan bahasa asing untuk menarik golongan yang sering berbelanja ini. Tidak seperti suatu ketika dahulu di mana CELCOM mempromosikan pakej 'Naga' untuk menarik golongan yang mengutamakan bahasa asing ini. Habis segala iklan CELCOM ini dibuat dalam bahasa asing dalam promosi itu. CELCOM tu syarikat Malaysia ke?


Baru-baru ini saya membeli lampu lantai di IKEA. Keputusan pembelian saya berdasarkan fungsi lampu, harganya, rekabentuknya dan lebih senang menjumpainya di pusat perniagaan seperti IKEA. Hati sedikit resah apabila terbaca "Made in China". Walaubagaimanapun saya lega apabila mendapati ada label QC (pemeriksaan dan kelulusan kualiti barangan) di bawah tapak lampu tersebut. Label QC ini memaparkan nama dan tandatangan pegawai pemeriksa kualiti dari IKEA sendiri.

Sebenarnya, bagi saya, sikap MENGHORMATI  dan keutamaan kepada pelanggan ini adalah agak lazim di negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun dan saya yakin banyak lagi negara-negara lain seumpamanya.

Mungkinkah sikap tersebut timbul kerana mereka sendiri amat menghormati negara mereka lalu sikap ini tertanam subur dihati mereka sehingga ianya tidak menjadi masalah kepada mereka untuk menghormati orang atau negara lain. Mungkinkah bagi mereka, PELANGGAN yang sebenarnya memberi kemajuan kepada perniagaan mereka, bukannya WANG pelanggan mereka?

Bagaimana pula kita orang Malaysia? Adakah kita benar-benar MENGHORMATI prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan? Tidakkah kita maklum bahawa agama rasmi adalah agama Islam? Tidakkah kita dapat MENGHORMATI bahawa adalah haram bagi orang Islam  memakan makanan yang tidak disediakan secara halal? Sekiranya Rukun Negara dihayati dan timbulnya sikap saling menghormati, akan adakah restoran-reston "Tidak Halal" yang terletak bersebelahan dengan restoran "Halal"? Akan adakah premis-premis perniagaan yang membabitkan daging babi terletak ditengah-tengah kawasan kunjungan orangramai? Dahulu, saya jarang melihat keadaan seperti ini. Premis perniagaan daging babi biasanya akan berada disudut tertentu di mana ianya melambangkan sikap hormat kepada mereka-mereka yang beragama Islam.

Kenapa IKEA of Sweden dapat MENGHORMATI negara asing bila berniaga di bumi asing, sedang kita  tidak dapat menghormati negara kita sendiri walaupun kaki bertapak di bumi sendiri? Kenapa kita begitu "BIADAP" terhadap diri sendiri? Ajaran Agama Wang, tiada tuhan lain yang disembah melainkan tuhan wang? Semuanya kerana Wang? Bangkrapnya moral kerana Wang?


Kita sering terdengar alasan-alasan perniagaan seperti  "mahu untung", "hendak cepat", "perlu jual banyak", "kena pastikan pulangan besar" sehinggakan pelanggan, kualiti barangan, harga berpatutan telah diletakkan jauh kebelakang. Malahan berlaku penipuan, sorokan barangan keperluan, penganiayaan dsb. Adakah ini ajarannya Agama Wang yang menyembah tuhan wang?

Sekiranya kita tidak bersetuju dengan Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan yang ada, maka amatlah wajar bagi kita berpindah ke negara lain yang Perlembagaannya memenuhi citarasa kita. Perlembagaan bukannya tidak boleh diubah sekiranya wajar dan perlu. Tetapi lakukanlah bibit-bibit perubahan itu dengan cara terhormat, mengikuti saluran tertentu sehingga perubahan yang diutarakan tersebut dapat diterima ramai. Sementara ianya belum berubah, hendaklah kita mematuhi peraturan yang sedia ada. Jadilah seorang warga yang penuh SOPAN bukannya biadap atau khianat terhadap negara.

http://t1.gstatic.com   

Related Posts with Thumbnails