Seorang sahabat pernah mengungkapkan "....it is like killing them with their own dagger....."
Lanjutan dari artikel sebelum ini, "A Tan Sri in PEMUDAH", pernahkah anda terfikir kenapa orang-orang Melayu di Semenanjung tidak menyenangi dasar-dasar liberalisasi yang dilakukan oleh DS Najib? Sekiranya diberi pilihan, adakah anda merasakan mereka akan memilih untuk bersama DS Najib bagi melaksanakan MEB (Model Ekonomi Baru) ataupun mereka lebih berhasrat meneruskan DEB, membaikpulih dasar yang dikatakan lebih berjasa ini dengan membersihkan anasir-anasir yang digelar sebagai "UMNOputeras" itu?
"UMNOputeras" dan talibarut-talibarut yang sewaktu dengan mereka yang ada di mana-mana termasuk dalam jentera pentadbiran dan parti pembangkang sekalipun, adalah musuh bersama. Tidak kira samada dari kalangan penyokong kerajaan ataupun penyokong pembangkang, termasuk juga mereka-mereka yang berkecuali sekalipun!
Setujukah anda kalau dikatakan MEB itu adalah lebih baik dari DEB (yang perlaksanaan tidak tercemar) ?
Baiklah... kepada orang-orang Melayu yang menyokong serta mengundi menaikkan kerajaan yang ada sekarang ini. Berbaloikah undi anda apabila kerajaan yang anda angkat itu asyik "menembak kaki sendiri saja"? Bukankah anda berharapkan kepada sebuah kerajaan yang terus kekal utuh, bukannya sebuah kerajaan yang mengundang "musuh-musuh" menjatuhkan mereka? Seperti menjamu Beryani Gam kepada mereka-mereka yang merusuh, the very people yang hendak menjatuhkan kerajaan itu sendiri? (Apa khabar peniaga-peniaga KL yang kerugian sehingga ratus juta ringgit itu? Terubatkah hati anda dengan air liur DS Najib yang turun padang selepas rusuhan itu?).
Apa bezanya DAP sebagai kerajaan apabila kerajaan sekarang ini membariskan "a Tan Sri in PEMUDAH", "menteri anwarista", "beruk" dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya dalam segenap jentera pentadbiran kerajaan? Perjuangan politik mereka adalah tidak selari dengan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Selarikah perjuangan politik ini apabila agama rasmi negara dipermain-mainkan? Raja-Raja Melayu diperlekehkan? Keistimewaan "the sons of soil" yang memang sedia ada sejak zaman jajahan takluk dahulukala lagi, dicabar begitu rupa setelah "the sons of soil" ini bersetuju dengan penganugerahan taraf kerakyatan percuma? Bahasa Kebangsaan diletakkan jauh dipunggung, sekolah vernakular pula ditatang bagai minyak yang penuh? Identiti "SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA" dicelarukan dengan konsep SATU ROJAK yang cacamarba?
Kenapa tidak ambil jalan yang lebih senang. Undi saja DAP! Lebih ringkas dan lebih senang kerja untuk memansuhkan Artikel 152, 153 Perlembagaan, Akta Bahasa bahkan melenyapkan sama sekali sistem Raja-Raja Melayu. Lagipun DAP telah berjaya meletakkan orang yang begitu kemaruk kepada Putrajaya di dalam genggaman mereka secara halus. Yang kurang sikit pemikirannya, sudah ditunggang dengan senang bak lembu-lembu dan kaldai-kaldai yang dicucuk hidungnya. Dibantu lagi oleh "melayu-melayu liberal" yang layak dipadankan dengan peribahasa Melayu, "seperti kacang lupakan kulit". Segelintir saja daripada yang liberal ini baru tersedar dari diulit mimpi. Harap-harap mereka akan terus sedar akan permainan si tukang-tukang karut ini!
Berbalik kepada "...killing them with their own dagger.."
Adakah dasar-dasar liberal, MEB, 1-Malaysia dan lain-lain itu adalah sebenar ciptaan dari ilham DS Najib sendiri? Kenapa DS Najib menggelabah membuat ucapan "U-Turn" (ucapan sahaja, perlaksanaan tetap diteruskan) apabila bersemuka dengan NGO-NGO Melayu dahulu semasa beliau mengumumkan dasar-dasar liberalisasinya? DS Najib gagal menangkis segala persoalan yang ditimbulkan mengenai dasar-dasar liberalisasi semasa perjumpaan NGO-NGO tersebut. Contoh lagi, dalam isu al-kitab - DS Najib nampaknya merestui "10-Point Resolusi Al Kitab 1-Malaysia" yang diumumkan oleh Idris Jala (yang mendapat kecaman dari kedua-dua belah pihak sejurus selepas itu), tetapi DS Najib juga bersetuju apabila Pehin Seri mengatakan resolusi ini sebagai BODOH!
Saya ragu-ragu sebab nampak sangat DS Najib ini tidak "hands on" dalam menerajui segala dasar-dasar yang beliau umumkan. Hari ini umum. Esok kena bantah, kecam, dipersoalkan. Lusa DS Najib membuat kenyataan "U-turn". Tulat dasar terus dilaksana seperti biasa. Tidak telitikah dalam perangkaan dasar-dasar ini sehingga berlakunya ucapan/kenyataan "flip-flop"? Tidak benar-benar menjiwaikah dasar-dasar ini sehinggakan nampak menggelabah serta gagal menangkis persoalan-persoalan yang ditimbulkan mengenainya? Ataupun DS Najib hanya "mengumumkan" saja sesuatu dasar, yang (sebenarnya) dirangkakan oleh punah-punahsihat yang ada disekeliling beliau? yang beliau sendiri lantik?
Kekhuatiran ini lebih terserlah apabila adanya orang-orang seperti "a Tan Sri in PEMANDU" dan "menteri anwarista" dalam jentera pentadbiran DS Najib yang sememangnya berjuang ke arah "Malaysian Malaysia" dokongan DAP itu. Ianya seolah-olah perjuangan DAP yang dilaksanakan oleh DS Najib melalui perancangan dan permuslihatan punahsihat-punahsihat yang berjiwa "Malaysian Malaysia" ini. DAP tidak perlu menghunus pedang mereka. Guna saja keris yang tersisip dipinggang pemimpin Melayu sendiri. "KILL THEM WITH THEIR OWN DAGGER!".
Lihat sajalah hasilnya kini - Jurang Yang Semakin Melebar! Identiti Malaysia celaru dan cacamarba tanpa SATU BAHASA yang seragam pun! Contoh, pengalaman diluar negara baru-baru ini di mana orang luar 'ter'anggap "ni hao" itu adalah bahasa orang Malaysia.
Kesian orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka mengangkat seorang ketua untuk memperjuangkan nasib mereka di bumi mereka sendiri. Tetapi akhirnya, mereka terbunuh ditikam oleh keris yang tersisip dipinggang ketua mereka sendiri dalam permuslihatan dan rencana halus "musuh-musuh" mereka.
Jadi bagaimana? Ke mana harus perginya undi-undi orang Melayu?