Thursday, May 6, 2010

Apa Sebenarnya Di Sebalik MEB?


Satu debat tahunan yang membawa usul "Malaysia has failed to progress since the inception of New Economic Policy (NEP)" telah diadakan di Universiti Melbourne, Australia. Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.

Sebelum acara perdebatan bermula, suatu bancian yang disertai oleh para hadirin telah dijalankan. Keputusan bancian seperti berikut:-
  • 44.1% menyokong usul debat
  • 29.9 % menentang
  • manakala 26% tidak berpihak
Majoriti hadirin telah bersetuju dengan tajuk/usul debat tersebut.

Bancian kedua, selepas acara perdebatan, juga diadakan dan ianya memberi keputusan seperti berikut:-
  • 40.2% menyokong usul debat (menurun)
  • 43.9% menentang (naik hampir sekali ganda)
  • 15.9% tidak berpihak
Majoriti hadirin telah berubah pendirian dengan TIDAK BERSETUJU kepada tajuk/usul debat tersebut.

Tajuk debat tersebut telah memberikan tanggapan negatif terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehinggakan ramai para hadirin pada awalnya bersetuju dengan usul debat. Walaupun begitu, setelah mendapat penjelasan/penerangan lebih lanjut dari acara perdebatan tersebut, para hadirin telah mengubah pendirian kepada TIDAK BERSETUJU dengan usul yang dibentangkan.

Boleh disimpulkan dari perdebatan ini bahawa DEB telah berjaya memajukan negara dan seharusnya diteruskan. DEB mungkin hanya memerlukan sedikit pengubahsuaian untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

Apabila DEB ditamatkan dan diganti dengan Model Ekonomi Baru (MEB), maka penulis blog tertanya-tanya apakah niat atau hasrat sebenar di sebalik MEB tersebut.
  • Apakah DEB benar-benar gagal sehingga ianya perlu ditamatkan?
  • Apakah MEB ini terhasil kerana sikap 'apologetik' yang tidak terhingga?
  • Apakah MEB diperlukan sebagai salah satu mercu tanda pemerintahan?
Keraguan sebagaimana yang digambarkan oleh persoalan-persoalan di atas  (dan banyak lagi persoalan) akan timbul apabila suatu dasar yang baik diberhentikan dan digantikan pula dengan dasar lain, yang belum tentu keberkesanannya. Lebih-lebih lagi dasar yang baru tersebut (MEB):-
  • nampaknya dirangkakan dengan secara tergesa-gesa sehingga berlaku beberapa kali penangguhan terhadap pengumumannya
  • sehingga kini MEB masih lagi merupakan suatu kerangka, belum lagi suatu dasar muktamad yang telah diperhalusi sepenuhnya
  • statistik terkini masih lagi belum diperolehi untuk mengatakan bahawa DEB telah gagal dan ianya perlu ditamatkan serta diganti dengan dasar lain
  • ada yang mempersoalkan tentang komposisi ahli-ahli panel yang merangka MEB
  • ada kegelisahan timbul di kalangan orang-orang Melayu terhadap ekonomi dan MEB
Penulis blog juga melancarkan suatu bancian mengenai perkara ini di sini (bancian akan ditutup dalam masa lebihkurang 2 minggu lagi).

Apabila prasangka "DEB telah gagal" dapat dilenyapkan dengan hanya memberikan penerangan serta maklumat lanjut mengenainya, mengapa pula DS Najib dengan begitu tergesa menggantikan DEB dengan MEB?

Sekiranya sekumpulan pelajar dapat mengubah pendirian orang ramai terhadap tanggapan negatif kepada DEB melalui acara debat, sepatutnya yang bergelar "Juara Rakyat", "Wakil Rakyat", "Bekerja Untuk Rakyat", "Jiwa Rakyat" dsb. dapat melakukan dengan lebih baik lagi dalam memperjuangkan DEB, bukan dengan cara tergesa-gesa menggantikannya dengan suatu dasar baru yang belum tentu keberkesanannya. Tahniah kepada Haerris Riani, Noor Leena dan Ronald Li, kerana anda semua berjiwa patriotik dan berjaya mempertahankan dasar kerajaan yang sememangnya baik untuk kemajuan negara. Tahniah juga kepada pihak pencadang kerana merealisasikan hasil perdebatan ini.

Jadi, APAkah yang SEBENARNYA DI SEBALIK MEB ini?
Related Posts with Thumbnails