Ramai yang meluahkan pandangan masing-masing mengenai pengeluaran lesen "sport betting" (lesen judi) oleh kerajaan pimpinan Najib Tun Razak baru-baru ini.
Secara ringkasnya, di antara pandangan-pandangan yang nampaknya menyebelahi atau mempertahankan pengeluaran lesen judi ini adalah:-
- Untuk mengawal/membendung kegiatan judi haram
- Kerajaan akan mendapat perolehan dari perlesenan judi ini
- Kerajaan perlu pastikan (jamin) bahawa orang Islam tidak akan terbabit
- Kegiatan judi berlesen seperti Sport Toto, Magnum, Genting dsb telah lama beroperasi di negara ini
- Banyak lagi benda haram lain di negara ini kalau hendak dipertikaikan seperti pelacuran, arak, ternakan babi dll
Persoalannya - Adakah dengan pemberian lesen judi ini, ianya akan:-
- menjamin terhapusnya kegiatan judi haram?
- Atau ianya akan menjadi pemangkin kepada kegiatan judi haram, maupun halal (berlesen) kerana kerajaan lambat laun akan mempertimbangkan pemberian lesen ini kepada kegiatan judi haram akhirnya?
- Walaupun ada undang-undang dan perlesenan, setiap hari akan ada orang yang melanggarnya. Sejauh mana kebenarannya alasan pemberian lesen itu adalah untuk mengawal kegiatan judi haram? Ada atau tidak lesen judi ini, kegiatan judi haram pasti tetap wujud, cuma kegiatan judi itu akan jadi lebih "friendly" di negara-negara yang bersedia untuk mengeluarkan lesen judi.
- Apakah ini hanya merupakan alasan mudah kerana tidak mahu bersungguh-sungguh serta ikhlas untuk menjunjung Rukun Negara dan Perlembagaan? Mahu atau tidak mahu, kedaulatan Undang-Undang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Itulah sebahagian tugas utama Menteri Dalam Negeri dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang. Ataupun ada lagi "udang-udang lain di sebalik batu" dalam pemberian lesen judi ini?
Persoalan kepada alasan kerajaan akan mendapat perolehan dari perlesenan judi ini yang boleh digunakan untuk membina infrasturuktur-infrastruktur awam, contohnya.
- Apakah kerajaan tidak perlu memikirkan tentang kos bebanan untuk menyediakan peruntukan bagi menangani gejala-gejala sosial yang akan timbul dari kegiatan berjudi seperti bangkrap, mencuri, merompak, kerosakan harta awam, keruntuhan akhlak dsb? Tidak perlulah diulas panjang mengenai gejala-gejala ini. Hanya satu contoh kecil di sini. Yang kaya adalah taukeh judi yang boleh dibilang dengan jari dan boleh berhijrah ke negara aman dengan hasil judinya. Yang akan membawa kepada keruntuhan sesebuah masyarakat itu adalah beribu-ribu peminat dan pemain judi yang sudah tentunya mencari apa jua jalan untuk mendapatkan duit untuk berjudi.
- Tidak payah juga diulas panjang mengenai "rezeki yang sememangnya diketahui dari mana puncanya".
- Wajarkah perolehan dari perlesenan judi itu apabila dibandingkan dengan prospek keruntuhan sesebuah masyarakat?
Judi dan Agama - ada yang menyeru supaya kerajaan menjamin bahawa orang-orang Islam tidak akan terlibat. Maksudnya - benarkan judi itu hanya kepada bukan islam. Persoalannya:-
- Hanya agama Islam kah yang melarang judi? Penulis merasakan semua agama yang ada di atas muka bumi ini melarang judi.
- Akan jadi "halal"kah judi itu di sisi agama, agama apa sekalipun, sebaik saja ianya dilesenkan?
- Seperti juga ada undang-undang. Adanya agama sekalipun, ianya tidak dapat menjamin bahawa setiap orang akan menjauhkan diri dari judi. Pasti ada juga orang yang berjudi. Jadi tanggungjawab membendung perlu dilakukan saban hari dengan menguatkuasakan undang-undang, bukan ambil mudah dengan mengeluarkan lesen judi. Kegiatan judi haram tidak akan terhapus, malah dikhuatiri semakin rancak, dengan pengeluaran lesen judi.
Ada juga yang menjadikan alasan telah terdapat kegiatan judi berlesen di negara ini seperti Sport Toto, Magnum, Genting dll. Kenapa judi sahaja? Pelacuran juga haram. Penternakan babi juga haram? Arak juga haram? tambah mereka. Persoalannya:-
- Adakah kita ingin terus menerus bergelumang melakukan perkara-perkara yang diketahui dengan jelas ianya haram dan mempunyai prospek untuk meruntuhkan masyarakat? Dah ada, tapi kita masih juga lagi nak tambah dengan yang baru?
- Harus dan wajarkah yang telah sedia ada kini dijadikan sandaran dan alasan untuk mewujudkan suatu yang baru?
- Tiada sesiapapun yang sunyi dari kesilapannya. Tapi apakah kita hendak belajar dari kesilapan yang telah berlaku ataupun kita hendak terus melakukan kesilapan? Apakah kita lebih gemar melakukan lebih banyak kerosakan lagi ataupun cuba memperbaiki dengan sedaya upaya?
Tidakkah kita mahu Magnum 3D lenyap di suatu masa hadapan nanti? atau kita hendak menggalakkan lagi Magnum 3D dengan pemberian lesen judi yang baru? (samada baru, atau lesen yang diaktifkan kembali, ianya sama saja. Kalau lesen itu boleh dibekukan, tentu sekali ianya boleh juga dibatalkan sama sekali, bukan?)
Dulu ada Loteri Kebajikan Masyarakat, hari ini?