Thursday, May 23, 2013

Haiwan Terlaknat

UPDATE (23/05/2013)


Satu lagi sumber berita dari DUNIA CACAMARBA

Artikel Asal (19/09/2010)

Saya sebenarnya sudah lama ingin menyampaikan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga empat orang mangsa bunuh baru-baru ini. Rasa dan ucapan yang sama juga saya ingin tujukan kepada keluarga-keluarga mangsa yang dipercayai ada kaitannya dengan kumpulan pembunuh yang sama yang berlaku sebelumnya.

Oleh kerana perkara ini adalah sesuatu perkara yang hiba, maka saya tidak ingin mencari rujukan-rujukan lanjut mengenai kes ini bagi mempastikan/mengesahkan tulisan saya ini. Cukup sekadar saya membuat pautan kepada artikel yang dimuatkan oleh MAHAGURU58, di sini. Saya menulis berdasarkan ingatan setelah membaca mengenai kes ini di laman-laman blog yang telahpun banyak menulis mengenainya.

Sebenarnya, tulisan ini berkisar kepada persoalan yang timbul setiap kali saya terkenang peristiwa ini, iaitu, "Apakah hukuman yang setimpal patut dikenakan ke atas-atas haiwan-haiwan yang telah berkelakuan kejam sedemikian rupa?".

Kenapa haiwan-haiwan ini sanggup melakukan kekejaman sedemikian rupa? Kerana wang ringgit? Memang benarlah apa yang ingin ditonjolkan oleh kenalan blogger Behind The Veil di sini. Pada luarannya kita menyembah tuhan masing-masing, tetapi hakikatnya, tuhan sebenar adalah berupa wang ringgit walaupun disanggah dengan kerasnya oleh ramai. Pernah saya diberitahu bahawa ada seseorang pernah dihukum penjara kerana orang itu meluahkan kata-kata, "Tuhan No. 1 adalah Tuhan Duit". Saya juga pernah menyentuh pasal "duit" ini di sini, sini, sini dan sini.

Seseorang menghabiskan masa mudanya menelaah selok belok undang-undang sehingga menjadi seorang pengamal undang-undang bergelar dato'. Dan juga pernah saya terbaca yang seorang lagi itu bergelar doktor, pengamal perubatan. Jika kita lihat, seseorang pengamal undang-undang sepatutnya merupakan orang yang terakhir sekali untuk merobek undang-undang. Seorang doktor mempunyai prinsip professionalisma yang akan mempertahankan nyawa seseorang manusia sehingga tahap akhir selagi terdaya. Kenapa boleh jadi  sebegini rupa sehinggakan hilang harga diri, etika tidak bermakna, buta, tuli, ringkasnya, ianya telah menukar seseorang manusia itu menjadi seekor haiwan yang terlaknat. Kerana apa semuanya ini? Benarlah, tuhan No. 1 yang disembah adalah tuhan wang ringgit.

Baiklah, apa pula hukuman yang setimpal? Diberitahu bahawa, dalam agama Islam, "kemaafan" itu adalah setinggi-tinggi dan semulia-mulia tindakan yang amat terpuji yang boleh diambil oleh waris-waris terbabit dan ini adalah terpulang kepada waris-waris berkenaan. Apa tindakan kita dalam kes ini sekiranya kita adalah salahsatu daripada waris-waris yang terdekat?

(Ghost Rider)

Pernahkah anda menonton movie Ghost Rider? Kadang-kadang saya terfikir kepada suatu teknologi yang dapat dicipta untuk mengumpul semua perasaan hiba, takut, geram, marah, sedih pilu, dendam dsb., lalu semuanya itu disalurkan terus ke dalam benak haiwan-haiwan ini supaya mereka pula merasai dengan sebenarnya segala perasaan yang dilalui oleh mangsa-mangsa yang terbunuh itu di saat kematian mereka. Segala perasaan waris-waris yang meratapi ahli keluarga mereka yang terbunuh itu juga dikumpulkan dan disalurkan sekali ke dalam benak haiwan-haiwan berkenaan. Biar haiwan-haiwan ni mampus dek saluran perasaan-perasaan itu.

Tetapi negara kita ada undang-undang tertentu yang diamalkan mengikut cara-cara yang tertentu. Saya bukan pengamal undang-undang untuk membincangnya dengan panjang lebar. Bagi saya, oleh kerana sudah ada pengakuan, harap-harapnya janganlah pihak-pihak tertentu cuba "circum-navigate", "mencari loop-holes" untuk mengelakkan hukuman setimpal di sisi undang-undang dari dilaksanakan ke atas haiwan pesalah-pesalah ini.

Pertama sekali gelaran dato' tu amat wajar ditarik balik dengan segera untuk mengelakkan gelaran itu tercemar-pakai oleh seekor haiwan (Update : Baru terbaca - bukan seorang dato' rupanya). Kedua, nyawa dibalas dengan nyawa (kecuali ada kemaafan yang pihak-pihak yang berhak). Kalau ikut rasa, haiwan-haiwan ini patut disebat dahulu sebelum digantung sampai mati. Ini bukan melibatkan satu nyawa. Kes ini melibatkan lebih dari satu nyawa. Kalaulah ada suatu teknologi seperti yang di "idea" kan dalam movie Ghost Rider itu, balasan yang lebih setimpal agaknya dapat dilaksanakan apabila kesemua perasaan mangsa-mangsa bunuh serta waris-waris mereka dapat dikumpulkan sekali gus dan disalurkan ke dalam benak haiwan-haiwan ini. Biar mereka merasai sendiri segala perasaan-perasaan itu.

Sudahlah, saya tidak ingin memanjangkan artikel ini lagi. Saya cuma berharap agar undang-undang negara ini dapat melaksanakan keadilan yang setimpal dalam kes ini.

Related Posts with Thumbnails