Tuesday, March 15, 2011

VICTIMS - Airmata Rakyat Yang Terus Mengalir

Bertemu dua orang kenalan lama tempoh hari. Dalam sesi teh tarik, banyak cerita yang kami perbualkan tapi yang paling menarik hati saya adalah "airmata" kedua-dua kenalan yang terus menitis, satu di projek perumahan Alam Perdana (berdekatan dengan lokasi Altantuya dibunuh) dan satu di projek perumahan di Lagoon Perdana, Subang Jaya. Kedua-kedua telah bermula sejak awal 2000 lagi dan kini sudah  masuk 10 tahun usia. 

Seorang kenalan ini telah membeli lot tanah Bandar Alam Perdana. Projek Alam Perdana dikatakan telah diklasifikasikan sebagai "projek terbengkalai" dan sekarang ini terdapat usaha-usaha untuk memulihkan projek perumahan tersebut. Dikatakan pihak SPNB sedang berusaha untuk memulihkan projek perumahan kos rendah dan kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk memulihkan bahagian-bahagian lain. Diberitakan juga bahawa Kerajaan Negeri Selangor ini telah mengambil balik tanah-tanah yang terlibat dalam projek tersebut.


Dari sudut "politiking"nya, Kerajaan Negeri Selangor dikatakan telah mengklasifikasikan semula sebuah  dokumen (format pdf) yang tersenarai di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (AKTA 88) bertajuk "RANCANGAN REVOLUSI HIJAU & BANDAR ALAM PERDANA - TANAH HILANG, RUMAH TAK DAPAT". (boleh dicapai melalui pautan ini). Tindakan ini telah lihat sebagai suatu usaha untuk memalukan kerajaan Negeri Selangor yang sebelumnya. (Deklasifikasi rekod 'backfire', LBCN akan saman Khalid- The Unspinners)

Walau apapun politiknya atau usaha yang sedang dijalankan sekarang ini bagi memulihkan projek tersebut, yang jelas bagi rakan lama saya ini adalah:-
Pembelian sekeping lot tanah sudah dilunaskan keseluruhannya kepada pemaju projek asal, VEGA BUILDERS Sdn Bhd. tetapi tanah yang dibelinya itu telahpun diambilalih oleh Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini. "Duit bayar, barang jadi kepunyaan orang lain"
Difahamkan bahawa Vega Builders (yang kini entah di mana, tetapi dikatakan mempunyai sebuah pasaraya di Bentong, Pahang) adalah anak syarikat yang membina projek Bandar Alam Perdana ini, manakala LBCN Sdn. Bhd. dikatakan "memiliki" atau "memegang" hakmilik tanah projek tersebut. Syarikat induk kedua-duanya adalah Prime Utilities Sdn. Bhd.)


Biasalahkan di Malaysia ini. Syarikat baru akan ditubuhkan (two dollar company?) oleh syarikat induk untuk pembinaan projek. Kalau ada masalah, syarikat pembinaan ini akan lesap dan syarikat induk akan "terlepas" secara "legal". Macam dah "plan-plan" dari awal.

Yang kedua adalah projek apartmen kos sederhana Lagoon Perdana, Sunway, Subang Jaya. Ia merupakan projek pembinaan beberapa blok apartment. Ada blok-blok yang telah siap dan didiami. Ada juga blok-blok dikatakan baru saja disiapkan (selepas hampir 10 tahun) dan sedang mengalami "teething problems" untuk didiami dan ada juga blok-blok yang belum disiapkan malahan tidak akan dapat disiapkan sebagai mana yang dirancangkan kerana masalah struktur yang tidak kukuh.

Kawan saya yang satu lagi ini "menempah" satu unit di blok yang tidak dapat disiapkan itu kerana plan asal blok tersebut adalah 18 tingkat tetapi tidak boleh dibina kerana struktur tapak yang tidak kukuh dan hanya selamat untuk pembinaan setinggi 4 tingkat sahaja. Mengikut perjanjian jualbeli, kawan saya sepatutnya menerima "kunci" 7 - 8  tahun dulu lagi.


Syarikat yang ditubuhkan (2 dollar company seperti biasalah?) untuk membina projek ini adalah TENAGA GAGAH Sdn. Bhd. Difahamkan syarikat induknya adalah TALAM

Walau apapun jaringan syarikat-syarikat (termasuk IJM) yang terlibat dalam projek Lagoon Perdana ini, yang pastinya ianya sebuah projek yang menyakitkan hati pembeli-pembelinya. Pembeli-pemblei yang menjadi mangsa telah meminta bantuan wakil rakyat kawasan tersebut, YB Hannah Yeoh, bagi mencari penyelesaian/meringankan beban. Yang jelas bagi rakan saya adalah:-
Sebahagian wang telah dibayar (pendahuluan dan beberapa bayaran progress awal) tetapi unit yang ditempah masih belum lagi dimiliki hingga kini. Tiada harapan untuk memilikinya kerana plan pembinaan asal tidak boleh diteruskan kerana tidak selamat. Beliau kini hanya dijanjikan dengan pemulangan balik wang yang tidak diketahui bila.
Sebenarnya, yang bermain dikepala saya berkaitan artikel kali ini adalah persoalan-persoalan seperti berikut:-

Bayangkan anda seorang pembeli hartanah yang akan atau sedang dimajukan (bangunan kediaman ataupun lot tanah untuk mendirikan kediaman), iaitu hartanah yang belum disiapkan. Proses yang anda akan lalui adalah lebihkurang seperti berikut:-
  1. Mencari hartanah idaman anda
  2. Menandatangani "PERJANJIAN Jualbeli" dengan pemaju - Bayar fee LOYAR Sale & Purchase Agreement (S&P)
  3. Menandatangani "PERJANJIAN Pinjaman" dengan institusi kewangan (Bank) - Bayar fee LOYAR Loan Agreement (LA)
  4. Bank bayar progress, pemaju siap projek, anda dapat kunci dan anda bayarbalik pinjaman. HABIS CERITA !!.
Dalam kedua-dua dokumen penting itu (S&P dan LA); yang ada segala bapak tandatangan-tandatangan, cop mohor sumpah dan bermacam-macam lagi (dakwat pen hitam tau! bukannya ballpoint warna biru), tertulis segala tanggungjawab anda sebagai 'Pembeli' dan 'Peminjam' serta juga tanggungjawab 'Pemaju sebagai Penjual' dan 'Institusi Kewangan sebagai Pemberi Pinjaman' - "Obligations" semua pihak dalam menyempurnakan perjanjian-perjanjian ini. Jika sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam perjanjian ini, maka akan terjatuhlah UNDANG-UNDANG NEGARA MALAYSIA yang berkenaan ke atas batu jemala "pesalahlaku" tersebut. WOW!!! Begitu amat "LEGAL" sekali dokumen-dokumen ini yang diusahakan oleh bapak-bapak Loyar yang feesnya anda bayar.

Bayangkan sekiranya anda terlewat bayar ansuran bank dan adakalanya bank yang terlambat bayar progress. Apa akan terjadi? Segala bala tentera dan bapak-bapak loyar akan turun ke atas batu jemala anda, maka terpaksalah anda berkejar kesana kemari suruh bank bayar progress ataupun kelam kelibut menyediakan wang untuk membayar ansuran pinjaman. Selepas itu anda akan terbeban dengan denda itu, denda ini, charge itu, charge ini, faedah itu dan faedah ini. Sekiranya anda berdegil juga, hartanah yang anda tempah itu akan tergadai dan silap haribulan anda akan diisytiharkan BANGKRAP oleh undang-undang Negara Malaysia apabila anda tidak membayar balik pinjaman anda. WOW!!!

Tetapi, bagaimana pula sekiranya CERITA belum habis? ............
5.  Oooooppss!! Projek idaman terbengkalai demam, yang habisnya duit bukannya cerita, hartanah yang dicita bertukar menjadi airmata?
"PERJANJIAN JUAL & BELI" tidak sepertimana yang dijanjikan kerana nampaknya hanya anda  sahaja yang melangsung segala "obligations" anda sebagai pembeli dengan penuh tanggungjawab. Bertahun-tahun lamanya menunggu dan membayar ansuran pinjaman,, "hartanah"  yang dijanjikankan kepada anda melalui S&P itu tidak juga sampai ke tangan anda. Selepas dijanjikan oleh skim itu dan skim ini, akhirnya pemaju lesap entah ke mana.

(http://www.alacrastore.com/deal-snapshot/Outlook_Rose_Sdn_Bhd_acquires_Vega_Builders_Sdn_Bhd_from_Prime_Utilities_Bhd-399631)

(http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:YGyvLa9-1GkJ:www.alacrastore.com/deal-snapshot/Investor_Group_acquires_Tenaga_Gagah_Sdn_Bhd_from_Talam_Corp_Bhd-425132+tenaga+gagah&cd=16&hl=en&ct=clnk&gl=my&client=firefox-a&source=www.google.com.my)

Nak suruh syarikat induk pemaju bertanggungjawab? heheheheh.... Malaysia boleh kan! Sebab itulah syarikat induk ini cerdik, awal-awal sebelum projek bermula lagi sudah mengambil langkah "LEGAL" untuk cuci-tangan. Cubalah pergi mahkamah dan habiskan lagi duit dengan LOYAR!

Meanwhile..... "obligasi" anda sebagai peminjam tetap berjalan walaupun kelibat hartanah pun entah kemana. Bank dah ikat keuntungan mereka dari ansuran anda melalui "LA". Bank peduli apa dengan hartanah yang terbengkalai. Mereka mahukan wang yang mereka pinjamkan itu beserta faedahnya sekali.

OKla... melalui kedua-dua dokumen penting SUPER DUPER LEGAL EAGLE yang bernama S&P dan LA ini, anda membawa kes ke mahkamah (bayar fee LOYAR lagi!) dan akhirnya keputusan mahkamah diberi. 

Sebelum itu, berapa ramai yang sanggup berhabisan duit, masa dan tenaga untuk menuntut hak mereka dalam kes-kes seperti ini? Cuba tanya dengan jujur!

Keputusan mahkamah adalah............. ANDA MENANG!!!! Yeeyyyyyyy!!!!! Saya "quote" dan "un-quote" tulisan seorang pembeli teraniaya disebuah forum.
"Saya dah failkan kat mahkamah dan telah pun keluar / jatuh hukum  pemaju kena bayar balik kat pembeli sampai sekarang HAMPEH! Duit dah abis byr lawyer, kita gak yg dianiaya. Dahla dianiaya, makin dianayai. Kena byr bulanan tolak gaji, byr lawyer ingat bolehla settle sampai sekarang tak nampak jln penyudah…  nasib kita makin dianiaya, pemaju gak yg kaya -sesuker hati nak buat apa tak kena tindakan. Kita tak bayar, kena blacklist, tambah lagi masalah2x berkaitan bank. Tak kiralah sapa pemerintah, yg penting masalah kita boleh diselesaikan. Harap doa2x kita yg dizalimi ni dimakbulkan dan dipermudahkan. Amin."
Tidak payah saya cerita panjang lagi kenapa ramai orang tidak mahu berhabisan duit yang telah habis pun untuk menuntut hak di mahkamah. Nak tuntut keadilan kerana 10 keping saman ekor yang kompaunnya bernilai RM3,000 tu??? Bayar loyar pun belum cukup!


Terkenang saya, alangkah bagusnya kalau kerajaan yang gagah perkasa itu tolong menyapu pipi-pipi rakyat, keringkan airmata mereka dalam kes-kes sebegini daripada menabur berjuta-juta ringgit kepada sekolah vernakular china pada setiapkali PRK. Undi tidak 'terbeli' juga. Alangkah bagus kalau difikirkan semula projek-projek yang kosnya MEGA, seperti yang INI dan INI, tetapi hasilnya belum tentu entah-entah akan jadi BEGINI.

Dalam hal "politiking" pulak, kita tanya berapa ramai rakyat 1Malaysia Unity In Diversity itu terlibat dalam saman ekor? Berapa ramai yang ada dikawasan Ijok, Bandar Alam Perdana itu? Berapa ramai yang ada di Sunway Lagoon Perdana, Subang Jaya itu? Tidak kiralah keturunan apa rakyat itu tapi mereka, di Ijok dan Subang Jaya itu sudah tentunya akan sejuk hati dengan sesiapa saja yang cuba mengatasi masalah-masalah (projek perumahan terbengkalai) yang mereka hadapi, BIARPUN usaha-usaha itu hanya merupakan satu janji-janji manis yang tidak terlaksana. Daripada tabur berjuta-juta kepada sekolah vernakular, ada faedahnya kalau ditabur kat Ijok dan Sunway Lagoon ni untuk menyejukkan hati-hati mereka yang terlibat. Berapa ramai tu kalau hendak dibilang undi yang terlibat dengan saman ekor seluruh negara, penduduk sekitar Ijok dan Subang Jaya tu? Begitulah banyaknya undi yang mungkin sekali akan tergugat. Itu baru Ijok dan Subang Jaya. Projek airmata rakyat yang lain-lain lagi?

Alang-alang panjangnya artikel ini, saya rasa nak nak tulis sebuah cerita rekaan ilham dari sok-sek-sok-sek yang terdengar dulu. (Perhatian : INI HANYA SEBUAH CERITA REKAAN)
Pada suatu masa dahulu, ada sebuah kompeni yang begitu GAH dalam projek perumahan, ABC Sdn. Bhd. Kompeni ini mencipta nama yang GAH dalam bidang ini kerana menyediakan hartanah yang mampu dibeli oleh golongan pendapatan rendah serta sederhana. Hartanah yang dibina pula dikatakan memuaskan hati pelanggan kerana harga yang amat berpatutan. ABC semakin maju dan kukuh sehingga mampu mencebur diri dalam projek pembinaan lebuhraya.

Dikatakan ABC akan berjaya (jaminan?) memperolehi sebuah kontrak pembinaan sebuah lebuhraya. Walaupun kontrak belum lagi dimeteraikan, ABC yang GAH ini sudahpun mengambil langkah-langkah awal pengambilalihan tanah-tanah yang terbabit disepanjang lebuhraya terbabit dan melunaskannya dengan tuan-tuan tanah terbabit.

Kemudian berlakulah pertukaran pemimpin. Krisis ekonomi yang melanda dijadikan alasan untuk memberhentikan projek-projek yang dilabelkan sebagai "MEGA". Betulkah kerana krisis ekonomi? Ataupun kerana hendak "tukar players-players dalam projek MEGA itu"? Masa ini,  ada seorang politikus muda yang begitu berusahawan, berkuasakan pak mentua, bergiat sana sini sehingga agak selari namanya dengan projek-projek MEGA yang di"hidup"kan semula selepas tak berapa lama diberhentikan atas alasan krisis ekonomi.

Anyways, ABC caught in the pants. Duit habis bayar pampasan tanah projek lebuhraya yang dia begitu yakin untuk mendapatnya. Malangnya, projek MEGA ini diberhentikan terlebih dahulu. Ianya dihidupkan kembali selepas players bertukar?

Kesannya, satu-persatu projek perumahan ABC yang dipuji ramai suatu ketika dahulu, jatuh merundum dan terbengkalai. Ramai pembeli teraniaya kehilangan wang menempah hartanah yang tidak nampak kelibatnya. Nama ABC yang gah suatu ketika dahulu, kini menjadi begitu busuk. 
**** Nota - Pautan-pautan yang digunakan dalam cerita rekaan di atas hanyalah bertujuan sebagai penambah maklumat. Tidak sekali-sekali ianya membayangkan suatu bentuk sokongan apa-apa sekalipun terhadap empunya blog dan parti politiknya.


Bagi yang berminat, sila lawati facebook:-


Dan bagi yang menjadi "Mangsa" pembelian hartanah terbengkalai Malaysia, dan ingin menjadi ahli VICTIMS (pertubuhan NGO), sila KLIK DI SINI untuk memohon menjadi ahli pertubuhan.
Related Posts with Thumbnails