Wednesday, December 29, 2010

Apa Reaksi Kabinet Najib ? Akan Bersungguhkah Kerajaan?

Dipaparkan semula di bawah ini, sebuah berita bertarikh 28 Disember, 2010 dari myMetro mengenai usaha-usaha pendaulatan Bahasa Kebangsaan negara ini.

Wajib guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana agensi kerajaan, perbankan dan syarikat yang enggan menggunakan bahasa Melayu (BM) dalam semua urusan berkaitan, tertakluk di bawah tetapan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JPBK).
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata langkah itu diambil bagi memastikan semua pihak bersatu dan bekerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi, sekali gus penggunaannya meluas di seluruh negara.

“JPBK atau jawatankuasa induk ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempunyai enam jawatankuasa kecil di bawahnya bertujuan melaksana, memantau dan memastikan bahasa Melayu digunakan sewajarnya.
“Sebagai contoh, Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Sektor Kewangan (JPBK-SK) akan memastikan bank di negara ini menggunakan BM dalam semua aktivitinya termasuk dalam borang perjanjian selain bahasa Inggeris. Mereka boleh buat dwibahasa, yang penting BM ada.

“Kalau mereka tidak mahu mematuhi arahan ini yang juga arahan Bank Negara (selaku badan yang mengawal), ia akan di bawa ke jawatankuasa induk untuk perbincangan selanjutnya, sebelum tindakan wajar diambil,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penghargaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010, di sini semalam.

Ditanya bentuk tindakan dikenakan, Termuzi berkata, ketika ini belum ada peruntukan dalam JPBK bagi membolehkan institusi perbankan didenda jika enggan patuh arahan berkenaan, justeru pihaknya memikirkan tindakan lain yang lebih wajar untuk menggantikannya sekali gus bertindak sebagai peringatan.
“Bagaimanapun, di pihak berkuasa tempatan (PBT) kita mempunyai peruntukan tertentu untuk mendenda jika gagal meletakkan nama jalan, perumahan dan iklan dalam bahasa Melayu.

“Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melaksanakan ini sejak awal tahun dengan pengiklan wajib mendapat kelulusan DBP untuk iklan yang memaparkan 2/3 keterangan dalam BM. Sekiranya tidak, lesen iklan takkan diberi,” katanya.
JPBK dianggotai enam kementerian antaranya Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan selain Jabatan Perkhidmatan Awam yang semuanya bertindak menyelia enam jawatankuasa kecil mengikut bidang masing-masing.

Jawatankuasa kecil itu termasuk Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan Bidang Penyiaran dan Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam, Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan dan Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan Pegangan dan Penggunaan selain JPBK-SK.

Terdahulu, Termuzi menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Piala Bank Negara Malaysia membabitkan institusi kewangan.

Kita ingin melihat sejauh mana ketegasan Kabinet Najib dalam mendaulatkan bahasa Kebangsaan ini. Mempelajari bahasa asing memanglah digalakkan tetapi tidaklah sampai ianya membelakangi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Kedua negara. Sepatutnya, hanya kedua-dua bahasa ini sahaja yang boleh digunakan dalam setiap urusan rasmi.


Suatu peruntukan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan patut diadakan bagi membantu pihak DBP dalam hal penguatkuasaan penggunaan bahasa Kebangsaan ini. Pihak PBT juga sepatutnya menggiatkan lagi usaha memertabatkan Bahasa Kebangsaan ini dengan segala peruntukan undang-undang yang ada pada mereka bagi membenteras penggunaan bahasa-bahasa asing (yakni bahasa-bahasa selain dari Bahasa Melayu dan Inggeris) pada paparan umum dan rasmi.

Sebagai contoh, saya berpendapat penggunaan Bahasa Melayu, Inggeris dan "Sign Language" sudah memadai untuk digunakan di lapangan-lapangan terbang, tumpuan perlancongan negara ini tanpa perlu menggunakan beberapa bahasa negara-negara lain. Selain dari tempat-tempat tumpuan 'antarabangsa' ini, sepatut hanya dua bahasa ini sahaja digunakan (Bahasa Melayu & Inggeris).

Related Posts with Thumbnails