Dalam sebulan dua lepas, saya beratur untuk membeli sarapan pagi di sebuah gerai di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. Di hadapan saya ada 2 anggota polis segak dengan seragam juga sedang beratur dan berbual sesama sendiri.
Aduh! sejuknya hati apabila memasang telinga. Bukan perhatian saya kepada isi perbualan kedua-dua adik polis ini, tetapi bahasa yang mereka gunakan untuk berkomunikasi. Saya agak kedua-dua adik polis ini baru ditauliahkan untuk menjalankan tugas-tugas menjaga keselamatan negara. Di dada mereka, tersemat 'name tag'', seorang dari keturunan India dan seorang lagi dari keturunan Cina. Kedua-dua mereka berkomunikasi lancar dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan!
Aduh! Sesuatu yang jarang saya lihat di bandar-bandar besar, malahan pekan-pekan sekalipun di Malaysia dewasa ini!
Akhir tahun lepas, saya berjalan-jalan di Singapura menggunakan sistem pengangkutan awam mereka. Ini sebahagian cebisan pengalaman yang tersemat di kepala saya:-
- Saya nampak empat bahasa di pintu MRT - Inggeris, Melayu, Mandarin (?), Tamil (?)
- Abang pemandu teksi keturunan Cina berkomunikasi dengan saya menggunakan Bahasa Melayu sedangkan saya lebih menggunakan Bahasa Inggeris dengannya.
- Di dalam MRT, lebih ramai yang mengadap iphone, ipad dan seumpamanya. Seorang Melayu berbual dengan seorang India dalam bahasa Melayu. Seorang Cina dengan Cina yang lain berbual dalam bahasa Inggeris. Sekurang-kurang 3 orang pelbagai keturunan, berbual sesama mereka dalam bahasa Melayu. Adik (keturunan Melayu) di kaunter pelanggan MRT berkomunikasi dengan saya dalam bahasa Melayu sedangkan saya banyak menggunakan bahasa Inggeris. Seorang abang, nampak macam keturunan Serani (?) datang berbual dengan saya menggunakan bahasa Inggeris di sebuah 'food court' di mana tuan punya gerai roti canai (keturunan India) menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan rakan-rakan tuan punya gerai yang lain di sepanjang pemerhatian saya waktu itu. Di sebuah food court yang lain di mana hanya terdapat 2 buah gerai kepunyaan keturunan Melayu, majoritinya keturunan Cina - bahasa yang terdengar di telinga semasa minum itu adalah bahasa Inggeris dan Melayu sahaja. Kesimpulan yang saya boleh buat - Walaupun bahasa rasmi Singapura adalah Inggeris dan merupakan bahasa utama, Bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa komunikasi setempat yang relevan.
Tidak berapa lama dahulu, semasa rehat di katil menonton di kaca TV, perlawanan bolasepak liga Inggeris di sebuah hotel di Thailand - bahasa pengulas bolasepak itu telahpun dialih-bahasakan kepada Bahasa Thai (bahasa original pengulas tersebut adalah Inggeris kerana pengulasnya orang UK!!). Adalah terjemahan teks kat bawah tu dalam bahasa Inggeris. Sama keadaannya di hotel di Turki. "Content" asingnya dialih bahasakan kepada bahasa Turki untuk siaran di TV. Hmmm.... keadaan ini hampir sama masa saya kecil-kecil dahulu - tetapi tidak lagi sekarang. Jarang saya lihat "content" asing dialihbahasakan ke bahasa Kebangsaan seperti di Thailand, Turki.. apalagi di Jepun dan Indonesia. Malahan "content" tempatan pun banyak yang tidak berbahasa Kebangsaan di Malaysia ini!!
Apa telah jadi dengan bahasa Kebangsaan Malaysia? Bolehkah anda semua rasai betapa "sejuknya hati saya" dalam pengalaman terserempak dengan dua adik polis di TTDI tadi?
Kita semua telah setuju dengan penubuhan MALAYsia dari penggabungan SABAH dan SARAWAK dengan SEMENANJUNG TANAH MELAYU dan penyingkiran SINGAPURA. Jika tidak, masakan nenek moyang kita pahatkan Artikel 152 dalam Perlembagaan Negara. Ditekankan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan! Apakah Artikel 152 persetujuan nenek moyang kita sudah LAPUK kini?
Bagi saya, ini terpulanglah kepada ORANG MELAYU, kaum asas penubuhan MALAYsia ini. Bahasa Kebangsaan MALAYsia adalah Bahasa Melayu. Sudahpun terpahat dalam Perlembagaan. Diperkasakan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua "perkakas memasak" sudah siap tersedia sejak dari dulu lagi. Persoalannya, "Adakah orang Melayu ingin terus memasak dengan segala apa yang telah tersedia?":-
- Kita tanya DS Najib, PM kita dan presiden parti politik kaum Melayu
- Kita tanya TS Muhyiddin, TPM yang bertanggungjawab ke atas anak-anak bangsa Malaysia - "to build a nation, first build a school"
- Kita tanya kumpulan konon pejuang bahasa Melayu KINI, kumpulan pengusung Keranda 152. Kenapa hanya PPSMI yang bukanpun bertujuan mengajar "Bahasa"? Kenapa tidak mengusung Keranda 152 di sekolah-sekolah rendah vernakular yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar? Dan kini semakin parah menjangkiti keseluruhan sistem pendidikan, terutamanya IPTS-IPTS. Kini sekolah menengah jenis kebangsaan pula sudah mula nampak berputik rancak? Kenapa tidak mengusung Keranda 152 di depan pejabat PM di Putrajaya apabila PM dengan bangganya mendabik bahawa BN adalah sahabat sejati sekolah vernakular? Ataupun depan pejabat Menteri Pendidikan yang ikut sama menabur baja kesuburan sekolah-sekolah vernakular ini? Depan persatuan Dong Zong? Kenapa PPSMI saja?
- Kita tanya pada orang-orang Melayu yang sering menonton TV, yang sering melihat papan-papan tanda yang hanya mempunyai bahasa Inggeris dan bahasa Cina, yang sering menerima iklan-iklan dalam 'mailbox' mereka, yang memburu iklan-iklan pekerjaan, yang beriadah di taman-taman awam terutamanya di bandar-bandar besar, yang membeli belah di pasar, yang minum teh tarik di kedai-kedai mamak, yang sering mendengar bahasa-bahasa pilihan semasa menelefon institusi-institusi perbankan Malaysia ... bahasa apa yang kedengaran di telinga anda yang dipertuturkan oleh orang-orang yang katanya orang MALAYsia? Tidak sejuk hati saya apabila saya bandingkan keadaan ini dengan pengalaman di Singapura. Tidak payahlah saya bandingkannya dengan yang di Jepun, Indonesia, Thailand, Amerika, Perancis, Australia, Sweden dan lain-lain lagi. MALAYsia ini memang unik. Keunikan MALAYsia dalam hal ini adalah....
Malaysia bukan lagi MALAYsia! Cacamarba yang semakin pudar identitinya kut?
- Akhir sekali kita tanya pada diri saya sendiri.
Jawapan saya, saya TERBUKA! Selagi Artikel 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan masih lagi terpahat, selagi itu saya cuba melakukan yang sebaiknya bagi menjunjung Perlembagaan Negara kita. Harapan saya kepada pemimpin yang di undi, supaya saja mereka bukan sahaja SEWAJIBnya menjunjung Perlembagaan Negara tetapi juga memastikan BAHASA KEBANGSAAN yang sememangnya telahpun PERKASA sejak dari dulu lagi, terus menerus bersinar KEPERKASAANnya. Bukan dikhianati, diperlekehkan, diketepikan, di pandang sebelah mata, diperlemahkan, dilakukan segala macam bertentangan dengan Perlembagaan Negara Artikel 152. Kenapa rasanya kini DBP macam hidup segan mati tidak mahu sahaja? Dah jadi anak tiri kerajaan ke? Kenapa sekolah kebangsaan terasa begitu lemah longlai sehingga sekolah-sekolah asing mencemuh Bahasa Kebangsaan lalu langsung diketepikan sebagai bahasa penghantar?
Perlembagaan Negara adalah amanah bumi ini kepada pemimpin yang diundi. Itu adalah asas penubuhan negara MALAYsia ini. Apakah Artikel 152 Perlembagaan Negara sudah LAPUK di mata pemimpin hari ini? Maka ianya perlu dimansuhkan seperti termansuhnya ISA? AUKU (bakal)? Agama rasmi (dikhuatiri dari rentetan-retentan peristiwa nama Allah, Al Kitab, Murtad, Undang-Undang Gay etc)
Apakah bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu ditukar kepada bahasa lain? Jika perlu, maka mansuhkanlah Artikel 152 dan ubahlah akta bahasa rasmi/kebangsaan. Tanyakan pada saya, saya jawab, saya TERBUKA. Saya akan menjunjung Artikel 152 selagi ianya terpahat, selagi ianya belum digantikan dengan Artikel lain.
Arahtuju, kesinambungan keperkasaan Bahasa Melayu di rantau ini adalah TERPULANG KEPADA ORANG MELAYU SENDIRI !! Tidaklah ianya boleh diharapkan kepada kaum keturunan lain, malahan PEMIMPIN MELAYU sekalipun!!